BERITA UTAMA

EXCO: Pergiat sesi libat urus pemilik taska, tingkat kualiti perkhidmatan, asuhan

22 Dis 2024, 2:30 PM
EXCO: Pergiat sesi libat urus pemilik taska, tingkat kualiti perkhidmatan, asuhan

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Negeri akan memperhebat sesi libat urus dan program pendidikan perlindungan kanak-kanak bersama pemilik taska pada tahun depan.

EXCO kebajikan masyarakat berkata program melibatkan 1,028 pengusaha taska di negeri ini antara usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk asuhan selain mematuhi peraturan ditetapkan.

"Program ini akan dilaksanakan dengan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Kita baharu sahaja selesai sesi libat urus dengan 250 pengusaha taska. Insya-Allah kita akan adakan lagi beberapa sesi pada tahun depan.

"Sesi libat urus ini juga membolehkan kita menambah baik beberapa perkara. Matlamat utama kita ialah mahu melihat pengoperasian semua taska pada tahap terbaik,” kata Anfaal Saari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas larian Batik Family Fun Run sempena Hari Kanak-kanak 2024 peringkat Selangor di Laman Budaya, Persiaran Tasik Seksyen 14, di sini hari ini.

Anfaal berkata pihaknya juga bercadang menganjurkan sambutan Hari Keluarga tahun depan bagi mengingatkan masyarakat berhubung peranan kekeluargaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang ditubuh khusus untuk membela nasib serta masa depan anak kelainan upaya (OKU) dijadual beroperasi Januari depan.

“Kita cadang untuk melantik Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai penaung,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar berkata YANIS bakal ditubuhkan bagi memperluas perkhidmatan kepada OKU tanpa mengira had umur berbanding sebelum ini hanya melibatkan bawah 18 tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selaras matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1), YANIS ditubuh untuk mempertingkat inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat dengan tumpuan terhadap kumpulan sasar.

Selain itu, katanya tumpuan turut diberikan kepada program pendidikan anak OKU, latihan dan pendayaupayaan agar mereka mampu mandiri dan mendapatkan peluang pekerjaan lebih baik.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619