SEPANG, 18 DIS: Express Development Approval (EDA)@Sepang yang dilancar Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sejak 29 November lalu berjaya meraih nilai pelaburan RM11.2 bilion, setakat ini.
Timbalan Yang Dipertuanya Muhamad Shah Osmin berkata angka itu diraih menerusi AkuJanji dari lapan syarikat dalam dan luar negara untuk melaksana pembangunan dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, syarikat terlibat adalah TM Technology Services, MYDIN, Sime Darby Property, KLM Land, Setara Istimewa, Vantage Data Centres, Comsat Mobile Telecommunications dan STTelemedia Global Data Centres.
[caption id="attachment_678375" align="aligncenter" width="810"] Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Muhamad Shah Osmin ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang di Cyberjaya pada 18 Disember 2024. Foto Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang)[/caption]
“EDA@Sepang adalah inovasi terbaharu MPSepang bagi pembangunan industri dan komersial ke arah merancakkan pelaburan, menyediakan ratusan peluang pekerjaan dan mengurangkan kerenah birokrasi bagi menambahbaik proses dan prosedur kelulusan pembangunan di Sepang.
“Menerusinya, permohonan kelulusan Kebenaran Merancang, Pelan Kerja Tanah, Pelan Bangunan dan Pelan Landskap boleh diberikan dalam tempoh 20 hari sahaja bagi kategori pemajuan Pendirian Bangunan (Free Standing Building), manakala 90 hari bagi kategori Pemajuan Skim Pembangunan Baru,” katanya.
Bercakap pada mesyuarat penuh MPSepang di Cyberjaya, hari ini, Muhamad Shah berkata inisiatif itu selaras Dasar Speed Selangor diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Belanjawan Selangor 2025, untuk dilaksana oleh semua pihak berkuasa tempatan selewat-lewatnya April 2025.
Selain itu, katanya MPSepang optimis ke arah mencapai status bandaraya menjelang 2030, mengambil kira kemudahan dan infrastruktur disediakan di daerah itu hampir setaraf dengan majlis bandaraya lain.
“Kalau ikutkan daripada segi potensi yang ada dalam MPSepang, kita yakin persediaan dan kemudahan adalah yang terbaik dan boleh dikatakan hampir setaraf dengan apa yang disediakan oleh majlis bandaraya yang lain.
“Jadi kami yakin dalam tempoh lima tahun, kami menyasarkan untuk MPSepang menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang bertaraf bandaraya menjelang 2030.
“Sekiranya daripada segi kelayakan untuk penaiktarafan dari perbandaran ke bandaraya dapat kita penuhi dalam tempoh tersebut, ia akan menjadi satu bonus kepada daerah Sepang,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin memperkenal Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang bagi kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.
Menurutnya, dasar berkenaan sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri untuk memudahcara perniagaan selain memberi tumpuan kepada industri baharu untuk bertapak di Selangor.