BERITA UTAMA

SIWANIS gilap bakat wanita, beri peluang buat dasar peringkat tertinggi

16 Dis 2024, 12:00 PM
SIWANIS gilap bakat wanita, beri peluang buat dasar peringkat tertinggi

SHAH ALAM, 16 DIS: Program Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) mendedahkan dan memberi peluang kepada kaum hawa terhadap proses membuat keputusan serta dasar di peringkat tertinggi.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata program memasuki siri kedua tahun ini mendapat sambutan positif dan bakal dijadikan sebagai acara tahunan.

Menurutnya, program itu juga dapat menggilap bakat wanita sebagai seorang pemimpin sekali gus berupaya menjadi pelapis Ahli Dewan Negeri (ADN) pada masa akan datang.

"Penyertaan dalam program SIWANIS dengan modulnya yang disusun khas untuk melengkapkan pemimpin wanita dengan ilmu yang relevan dalam pembuatan dasar ialah langkah yang tepat.

"Semoga program simulasi hari ini berjaya membentuk pemimpin wanita yang berkualiti dalam menguasai isu dan dasar serta tadbir urus yang baik ke arah kesaksamaan gender.

"Semoga kita menjadi pemangkin perubahan, yang bukan hanya memberi impak kepada diri sendiri, tetapi kepada keluarga, masyarakat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SIWANIS 2024 di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini yang turut dihadiri speaker DNS Lau Weng San.

Mengulas berhubung prestasi ditampilkan 56 peserta SIWANIS, Anfaal berkata rata-ratanya memberi kualiti perbahasan yang sangat baik dengan adanya celahan dan soal jawab.

"Semoga segala latihan dan peluang dapat dimanfaatkan sebaiknya. Insya-Allah anda akan tergolong dalam kumpulan pembuat dasar dan polisi di negara ini dan Selangor khususnya," katanya.

Terdahulu, seramai 56 peserta wanita dari pelbagai latar belakang mewakili blok kerajaan dan pembangkang menyertai SIWANIS dengan membawa dua usul.

Usul tersebut adalah berkaitan mengurangkan kos sara hidup golongan rentan di Selangor khususnya dalam bidang pengangkutan dan minimum 50 peratus perwakilan wanita dalam politik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619