AGENDA

Dewan Rakyat lulus pindaan Kanun Keseksaan tangani isu buli

10 Dis 2024, 12:45 PM
Dewan Rakyat lulus pindaan Kanun Keseksaan tangani isu buli

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024 antaranya bertujuan menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah termasuk dalam talian.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Azalina ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata pindaan berkenaan tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara tetapi berfungsi sebagai mekanisme mencegah gangguan dan melindungi masyarakat terutamanya kanak-kanak.

"Pindaan ini bukan sekadar untuk menghukum tetapi juga mendidik, melindungi dan mencegah, dan ia adalah langkah penting ke arah membina sebuah masyarakat yang lebih beradab dan menghormati maruah setiap individu," katanya.

Beliau berkata melalui pindaan berkenaan, kerajaan memberikan beberapa pendekatan supaya kelompongan undang-undang dapat diatasi antaranya Kanun Keseksaan (Akta 574) yang tidak mempunyai peruntukan khusus terhadap buli dan buli siber.

RUU itu antara lain mencadangkan subseksyen baharu 507D (2) bertujuan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang dalam apa-apa cara yang menggunakan perkataan atau komunikasi mengugut, menghina atau mencela dengan niat memprovokasi seseorang dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau kepada orang lain.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Subseksyen itu juga memperuntukkan bahawa jika orang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan dicadangkan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2024 yang bertujuan memastikan keselarasan dengan pindaan Kanun Keseksaan.

Ia antara lain memperuntukkan kesalahan penetapan berkaitan keperluan waran tangkap, tempoh pengeluaran waran atau saman, ketetapan kesalahan boleh dijamin atau tidak, ketetapan kompaun dan hukuman maksimum bagi setiap kesalahan berkait jenayah buli.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619