AGENDA

Polis rugi RM3.2 juta selepas 42 pondok, balai rosak dilanda ribut, bah

10 Dis 2024, 12:09 PM
Polis rugi RM3.2 juta selepas 42 pondok, balai rosak dilanda ribut, bah

HULU DUNGUN, 10 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mengalami kerugian RM3.2 juta akibat kerosakan balai dan pondok polis di 42 lokasi seluruh negara susulan bencana alam yang berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2.5 juta kerugian direkodkan akibat 32 lokasi balai dan pondok polis yang dilanda banjir.

“Manakala selebihnya akibat kejadian ribut yang merosakkan bumbung dan siling di sembilan lokasi melibatkan kerugian sebanyak RM559,000 manakala akibat kejadian pokok tumbang di satu lokasi melibatkan kerugian RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir di Balai Polis Kuala Jengai di sini hari ini.

Pada program berkenaan Ayob Khan menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan asas kepada 12 anggota serta pegawai polis yang terkesan banjir baru-baru ini.

Sementara itu Ayob Khan berkata polis juga merekodkan sebanyak 3,024 kes jenayah indeks yang berlaku sepanjang musim MTL ini iaitu bermula 19 Nov sehingga 8 Dis lepas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,511 kes melibatkan jenayah harta benda seperti kecurian kenderaan dan pecah rumah, manakala 513 kes adalah jenayah kekerasan seperti samun, bunuh dan rogol,” katanya.

Beliau berkata musim banjir yang memaksa penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara juga menyumbang kepada berlakunya jenayah harta benda seperti pecah rumah.

Sementara itu ditanya mengenai Balai Polis Kuala Jengai yang saban tahun dilanda banjir, Ayob Khan berkata pihaknya mempunyai dua lokasi yang bersesuaian bagi pembinaan balai baharu iaitu di Kampung Cemuak dan Kampung Surau di Kuala Jengai.

Bagaimanapun, proses pembinaan balai baharu itu akan mengambil masa antara setahun atau dua tahun lagi, tambah beliau.

“Kita telah mengangkat cadangan untuk bina baharu Balai Polis Kuala Jengai ini semasa Mesyuarat Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 dan permohonan ini telah diluluskan.

“Bagaimanapun, lokasi yang dicadangkan sebelum ini terpaksa ditukar kerana keluasannya kurang daripada lima ekar. Kita hendak kawasan yang besar sedikit. Jadi kita cadangkan lokasi baru di Kampung Cemuak dan Kampung Surau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM juga sedang mengenal pasti balai dan pondok polis yang perlu dibina baharu atau berpindah ke lokasi baharu di seluruh negara, bukan sahaja terjejas banjir tetapi telah uzur termasuk struktur binaan daripada kayu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619