AGENDA

Negara-negara Arab sambut baik perkembangan di Syria selepas Assad digulingkan

9 Dis 2024, 4:21 AM
Negara-negara Arab sambut baik perkembangan di Syria selepas Assad digulingkan

ISTANBUL, 9 DIS: Beberapa negara Arab menyambut baik perkembangan terkini di Syria yang menyaksikan tampuk pimpinan Bashar al-Assad digulingkan, sambil menyeru langkah-langkah untuk memastikan kestabilan, pembangunan dan mengelakkan huru-hara yang berterusan, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan pihaknya sedang "memantau perkembangan di Syria" dan berpuas hati dengan langkah positif yang diambil untuk melindungi rakyat Syria, mencegah pertumpahan darah, serta memelihara institusi dan sumber negara.

Kerajaan terbabit menggesa komuniti antarabangsa untuk "bersama rakyat Syria dan bekerjasama dengan mereka dalam hal yang memenuhi aspirasi mereka serta tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara itu."

Di Qatar, Kementerian Luar menekankan keperluan untuk memelihara institusi negara dan mengekalkan perpaduan bagi mengelakkan kekacauan.

Ia turut mengulangi komitmen Qatar untuk menyelesaikan krisis Syria selaras dengan keabsahan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2254, yang bertujuan memelihara perpaduan, kedaulatan, dan kemerdekaan Syria.

Kementerian Luar Bahrain turut menyuarakan sokongan dengan menegaskan komitmennya terhadap kestabilan, kedaulatan, dan integriti wilayah Syria.

Kenyataan itu menyeru semua pihak di Syria untuk mengutamakan kepentingan negara serta memastikan institusi awam dan infrastruktur penting dilindungi.

Sementara itu, Mesir melalui Kementerian Luarnya memberi tumpuan terhadap perkembangan di Syria, sambil mengulangi sokongan terhadap kedaulatan dan perpaduan rakyatnya.

Kaherah menggesa semua pihak di Syria untuk memelihara sumber negara, mengutamakan kepentingan nasional dan memulakan proses politik bagi mencapai perdamaian dalaman serta memulihkan kedudukan Syria di peringkat serantau dan antarabangsa.

Raja Jordan, Raja Abdullah II menegaskan sokongan negaranya terhadap rakyat Syria dengan menghormati pilihan mereka serta menekankan keperluan untuk mengutamakan keselamatan dan kestabilan bagi mengelakkan kekacauan.

Beliau turut menekankan peranan Jordan yang menjadi tuah rumah kepada pelarian Syria dan menyediakan perkhidmatan penting sepanjang sedekad lalu.

Di Iraq, jurucakap kerajaan Basim al-Awadi berkata Iraq sedang memantau rapat perkembangan di Syria dan berinteraksi dengan rakan kongsi antarabangsa bagi mempromosikan kestabilan dan keselamatan.

Kenyataan itu menegaskan kepentingan untuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman Syria bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk.

Presiden Palestin melalui agensi berita rasmi WAFA mengulangi solidariti dengan rakyat Syria, menekankan kepentingan mengembalikan peranan Syria di rantau ini.

Penggulingan rejim Assad berlaku selepas kumpulan anti-rejim memperoleh kejayaan besar dengan menawan Damsyik pada Ahad, menandakan kejatuhan pemerintahan Parti Baath sejak 1963.

Assad dan keluarganya dilaporkan melarikan diri ke Moscow, di mana mereka diberikan suaka, menurut agensi berita Rusia.

- BERNAMA-AA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619