BERITA UTAMA

EXCO: Inisiatif tangkapan ikan pleco diperluas tahun depan

8 Dis 2024, 8:40 AM
EXCO: Inisiatif tangkapan ikan pleco diperluas tahun depan

SUBANG JAYA, 8 DIS: Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan program inisiatif tangkapan ikan bandaraya (pleco) tahun depan dengan lebih meluas, susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor juga mahu meningkatkan kempen kesedaran mengenai ikan pendatang termasuk memperkenalkan penguatkuasaan undang-undang baharu.

“Selepas program pertama yang kita buat pada September lalu, kita dapati sambutan yang diterima amak baik jadi kita cadang teruskan dengan lebih luas.

“Ikan pleco ini masih banyak lagi di sungai kita, jadi kita cuba cari kaedah yang lebih cepat untuk lupuskan termasuk kaedah biologi dan penguatkuasaan undang-undang,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau meninjau program inisiatif tangkapan ikan pleco dengan tawaran RM1 bagi setiap kilogram di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Izham menambah Kerajaan Negeri berhasrat memperkenalkan kaedah melupus ikan hiasan yang sering dilepaskan ke dalam sistem saliran apabila dewasa.

Menurutnya, kaedah melepaskan ikan akuarium ke dalam sistem saliran menyebabkan haiwan terbabit menjadi ikan asing sekaligus menjejaskan ekosistem perairan negara.

“Kita perlu sediakan tempat pelupusan supaya pemilik ikan hiasan ini tidak lepaskan ikan mereka dalam sistem saliran. Inilah punca banyak ikan asing di sungai kita,” katanya.

Inisiatif tangkapan ikan pleco mula diperkenal dan dilaksanakan sepanjang September lalu di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sebagai langkah memulihara spesis tempatan serta sungai.

Program julung kali itu berjaya mendaratkan 4,467 kilogram ikan dengan membabitkan penyertaan lebih 100 orang awam sekitar negeri ini.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619