AGENDA

Anwar terima kunjungan hormat menteri luar Australia, bincang perkukuh kerjasama

4 Dis 2024, 6:15 AM
Anwar terima kunjungan hormat menteri luar Australia, bincang perkukuh kerjasama

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Australia Penny Wong yang kini berada di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Malaysia-Australia ke-6.

Pada pertemuan di Bangunan Parlimen itu, Anwar dan Wong antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, pertahanan, keselamatan siber dan pendidikan tinggi menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Australia pada 2025.

Australia dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu turut menyatakan sokongan kepada Malaysia yang akan menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.

Perdana Menteri turut menggunakan ruang itu untuk menjemput sekali lagi Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Tema untuk Kepengerusian Malaysia yang akan datang ialah "Keterangkuman dan Kelestarian," yang menzahirkan niat Malaysia untuk membimbing ASEAN ke arah pertumbuhan yang adil, lestari dan inklusif.

Dalam pertemuan itu, Australia turut menzahirkan simpati kepada Malaysia atas musibah banjir yang melanda negara ketika ini.

Turut hadir pada pertemuan itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Australia telah menjalin hubungan diplomatik yang kukuh sejak 1957.

Pada 2023 Australia merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, destinasi eksport utama dan sumber import terbesar dalam kalangan negara-negara di rantau Oceania, dengan jumlah dagangan RM84.64 bilion (USD18.56 bilion).

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619