AGENDA

1,155 calon SPM Terengganu terjejas bah dipindah ke asrama

1 Dis 2024, 8:18 AM
1,155 calon SPM Terengganu terjejas bah dipindah ke asrama

KUALA TERENGGANU, 1 DIS: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengaktifkan Ops Payung untuk memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dapat menduduki peperiksaan dengan lancar esok.

Pengarahnya Jelani Sulong berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 1,734 calon SPM daripada 20 buah sekolah di enam daerah yang terjejas akibat banjir besar kali ini.

Beliau berkata sebanyak 1,155 daripada calon tersebut telah ditempatkan di asrama, bagi membolehkan mereka menduduki ujian bertutur yang berlangsung mulai 2 hingga 5 Dis nanti.

“Calon terjejas ada yang masih berada di rumah, ada yang ditempatkan di asrama dan ada yang di PPS.

“Calon yang berada di rumah akan dikumpulkan di satu tempat dan diangkut ke pusat peperiksaan alternatif. Begitu juga 261 calon peperiksaan yang berada di PPS,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelani berkata perancangan teliti telah diatur daripada semua aspek bagi memastikan semua pelajar dapat mengambil peperiksaan dengan lancar.

Bagaimanapun pada masa sama beliau menasihatkan calon supaya tidak bermain air dan menjaga keselamatan masing-masing.

Sementara itu seorang calon SPM Muhammad Aidil Adwa Irfan Zulkifli, 17, berkata meskipun ditawarkan untuk tinggal di asrama sepanjang banjir bagi membolehkan dia fokus untuk mengulang kaji, namun dia menolak kerana ingin menjaga adiknya yang berumur 12 tahun, di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di Setiu.

“Memang cikgu bertanyakan sama ada saya ingin tinggal di asrama tetapi saya menolak kerana ingin membantu ibu menjaga adik di PPS ini,” katanya ketika ditemui di PPS SK Telaga Papan di Setiu hari ini.

Pelajar SMK Penarik aliran Perdagangan yang berpindah ke PPS tersebut sejak semalam itu berkata dia mencuri masa mengulang kaji sebagai persediaan SPM pada waktu malam di kelas-kelas yang kosong di PPS tersebut supaya lebih fokus.

Anak sulung daripada dua beradik yang mengambil tujuh subjek SPM itu juga terpaksa mengulang kaji menggunakan telefon bimbitnya, memandangkan dia tidak sempat membawa buku-buku.

“Pada awalnya buku-buku saya letak di atas rak yang tinggi di rumah dan bercadang untuk bawa ke PPS sekiranya banjir. Tetapi air naik sangat mendadak semalam sehingga saya tidak sempat membawa buku ke PPS,” katanya.

Muhammad Aidil Adwa Irfan menambah ini merupakan kali kedua rumahnya di Perumahan Tabung Haji di Setiu, dilanda banjir selepas kali pertama pada 2022.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619