AGENDA

Kes tipu pelaburan di TikTok meningkat, jumlah rugi lebih RM6 juta

26 Nov 2024, 1:30 PM
Kes tipu pelaburan di TikTok meningkat, jumlah rugi lebih RM6 juta

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis mendedahkan aplikasi TikTok kini semakin menjadi pilihan sindiket penipuan untuk mencari mangsa dengan mempromosi skim pelaburan palsu, susulan aplikasi itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sejak 2021 hingga Oktober lepas, kes penipuan pelaburan melalui TikTok mencatatkan kenaikan lebih 90 peratus dengan 131 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas berbanding 59 kes pada 2023, 2022 (27 kes) dan 2021 (13 kes).

“Dari aspek kerugian pula, jumlah yang direkodkan terus meningkat daripada hanya RM400,000 dicatatkan pada 2021 kepada RM1.28 juta pada 2022 dan RM7.25 juta pada 2023.

“Pada tahun ini setakat Oktober lepas, jumlah kerugian yang direkodkan telah mencecah RM6.39 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 131 kes itu, sebanyak 66 mangsa adalah wanita manakala bakinya lelaki dengan 23 peratus berusia 31 hingga 40 tahun, diikuti 21 hingga 30 tahun (21.4 peratus), dan 41 hingga 50 tahun (17.5 peratus)

“Bagi kategori kumpulan pekerjaan, pekerja swasta mencatat individu paling ramai menjadi mangsa dengan 54.2 peratus, tidak bekerja (16.8 peratus), pesara (9.9 peratus), penjawat awam (7.6 peratus), peniaga (6.9 peratus) dan pelajar (4.6 peratus),” katanya.

Ramli berkata perkembangan pesat penggunaan media sosial di Malaysia jelas mengundang peningkatan dalam kes penipuan.

"Berdasarkan laman web meltwater.com, setakat Januari lepas, pengguna media sosial mencecah sebanyak 28.68 juta orang dan jumlah ini bersamaan 83.1 peratus daripada populasi keseluruhan rakyat Malaysia iaitu 34.5 juta orang.

“Angka ini menjelaskan mengapa media sosial merupakan platform yang menjadi pilihan kepada sindiket untuk mencari mangsa. Selain capaian terhadap pengguna yang ramai, media sosial juga mampu memberikan kelebihan kepada penjenayah untuk menyembunyikan identiti mereka.

“Kecanggihan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), membolehkan sindiket mencipta iklan palsu menggunakan gambar dan video individu terkenal untuk mengaburi mangsa,” katanya.

Beliau berkata walaupun sudah kerap kali pihaknya menyuarakan amaran bahawa segala skim pelaburan yang diiklankan menerusi media sosial adalah penipuan, masih ramai pengguna terus terpedaya.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang iklan pelaburan melalui media sosial tanpa pengesahan sahih.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619