AGENDA

Seorang lagi wartawan terbunuh di Gaza, angka korban meningkat 189 orang

23 Nov 2024, 2:22 PM
Seorang lagi wartawan terbunuh di Gaza, angka korban meningkat 189 orang

BANDARAYA GAZA, 23 NOV: Seorang lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di Gaza, menjadikan jumlah wartawan yang terkorban sejak 7 Oktober tahun lepas kepada 189, menurut Pejabat Media Gaza.

Menurut laporan Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan pejabat itu pada Sabtu, mangsa, Wael Ibrahim Abu Quffa merupakan seorang wartawan dan pensyarah di Jabatan Kewartawanan dan Media, Universiti Islam Gaza.

Pejabat Media Gaza mengecam pembunuhan itu dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera, menyifatkan serangan ke atas wartawan sebagai tindakan sistematik.

Pihaknya turut menggesa organisasi antarabangsa dan kerajaan agar “mengheret Israel ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa serta mendesak Israel menghentikan genosid yang sedang berlangsung di Gaza.”

Israel telah melancarkan serangan yang disifatkan sebagai genosid di Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, mengorbankan lebih 44,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,000 yang lain.

Genosid yang memasuki tahun kedua itu terus mendapat kecaman antarabangsa, dengan pelbagai pihak menyifatkan serangan dan sekatan bantuan sebagai usaha sistematik untuk memusnahkan populasi di Gaza.

Dalam langkah bersejarah, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang memusnahkan Gaza.

-- BERNAMA-AA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619