SHAH ALAM, 23 NOV: Dasar Speed Selangor yang memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang (KM) bagi kawasan industri akan dilancarkan April tahun depan.
Setiausaha Akhbar Dato’ Menteri Besar, Jay Jay Denis berkata tempoh empat bulan diambil bagi memastikan sistem sedia ada ditambah baik sebelum dasar berkenaan mula dikuat kuasa.
“Kita ambil tempoh masa hampir empat bulan untuk kita tambah baik proses sedia ada, ini termasuk kerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Google.
“Kita ada ramai penjawat awam yang berkaliber tetapi mungkin pengetahuan mereka boleh dipertingkatkan,” katanya ketika diwawancara menerusi program Hai Selangor terbitan Selangor TV, baru-baru ini.
Menerusi kerjasama dengan Google, Jay Jay menambah, syarikat teknologi gergasi itu menawarkan khidmat bawah program Most Viable Product (MVP) yang menyedia sesi latihan kepada kakitangan awam.
Jelasnya, program MVP dijangka mampu mengenal pasti kelemahan dalam sistem sebelum ini yang akan diselesaikan menggunakan teknologi dan aplikasi sedia ada daripada Google.
“Hasilnya akan membolehkan penjawat awam menghasilkan satu sistem baharu yang akan digunakan dalam Dasar Speed Selangor bersama agensi luar seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak bomba,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan KM bagi kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.
Menurutnya, dasar berkenaan sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri untuk memudahcara perniagaan selain memberi tumpuan kepada industri baharu untuk bertapak di Selangor.
[embed]https://selangortv.my/hai-selangor-20-november-2024-dasar-speed-selangor-percepat-proses-perniagaan/[/embed]