AGENDA

Renang, olahraga antara enam sukan dapat dana tambahan bangun bakat baharu

21 Nov 2024, 1:18 PM
Renang, olahraga antara enam sukan dapat dana tambahan bangun bakat baharu

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menyalurkan dana tambahan untuk enam lagi sukan bagi tujuan pembangunan bakat baharu sebagai persediaan ke Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini mengumumkan sukan terjun, badminton, berbasikal, skuasy, renang dan olahraga sebagai penerima dana itu.

“Kita memilih sukan itu kerana kita fikir penting untuk Malaysia mempunyai pelbagai usaha bagi membangunkan bakat bagi sukan ini,” katanya kepada media pada majlis perasmian Kejohanan KBS Masters 2024 di Majlis Sukan Negara hari ini.

Difahamkan, jumlah dana itu akan diputuskan kelak mengikut keperluan setiap sukan yang terlibat.

Hannah ketika mempengerusikan sesi bedah siasat temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 pada 15 November lalu mengumumkan angkat berat, memanah, taekwondo dan menembak bakal menerima dana tambahan bagi tujuan pembangunan bakat baharu.

Sementara itu, Hannah berkata penganjuran sulung KBS Masters iaitu kejohanan bagi golongan berusia 40 tahun, berjaya menarik minat lebih 1,500 peserta termasuk beberapa bekas atlet kebangsaan dan selebriti seperti lagenda hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi.

“Kita wujudkan kejohanan ini supaya golongan ini mempunyai platform untuk bertanding. Dengan adanya pertandingan bermaksud akan ada latihan yang akan menjamin gaya hidup sihat sepanjang masa.

“Saya berharap dengan adanya kesedaran ini, persatuan sukan mampu menarik minat warga emas untuk masuk belajar sukan baru ini. Saya berharap ini akan dijadikan acara tahunan selepas ini,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619