KLANG, 13 NOV: Hujan lebat luar biasa dalam tempoh beberapa jam semalam dipercayai menjadi punca beberapa kawasan sekitar Klang dilanda banjir kilat, kata EXCO pengurusan bencana.
Najwan Halimi menjelaskan keadaan tersebut turut didorong fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku minggu ini, menyebabkan beberapa kediaman dan premis perniagaan dinaiki air.
Menurutnya, rumah pam di Taman Mutiara Bukit Raja 2 berfungsi dengan baik, namun pembinaan kolam takungan perlu disegerakan bagi mengelakkan penduduk di kawasan itu terus terjejas.
"Saya minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) percepat pembinaan kolam takungan yang sepatutnya siap Oktober lalu. Perlu ada tindakan segera kerana penduduk menunggu cukup lama.
"Pecah tanah (kolam takungan) dibuat pada 2022. Buat masa ini, penduduk hanya bergantung dengan rumah pam sahaja sekiranya berlaku limpahan," katanya selepas meninjau kawasan itu, hari ini.
[caption id="attachment_672808" align="aligncenter" width="723"] EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halim mendengar luahan penduduk setempat semasa meninjau keadaan banjir di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang pada 13 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR.[/caption]
Sementara itu, penolong pengarah kanan Bahagian Saliran Mesra Alam dan Caruman Parit JPS berkata kolam takungan tersebut mengalami kelewatan berikutan terdapat beberapa isu, termasuk reka bentuk.
Zurraidy Jalal menjelaskan kelewatan itu juga disebabkan isu permit bersama Grand Sepadu Sdn Bhd (Shapadu) sebelum ini, selain penularan pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.
"Selesai isu permit, kontraktor perlu lihat semula reka bentuk kolam takungan. Kerja pengorekan tanah kini mencecah 25 peratus dan dijangka capai 50 peratus bulan depan dengan tambahan jentera.
"Dijangka kolam takungan ini selesai pada Mac tahun depan bergantung pada faktor seperti cuaca," katanya mengulas kelewatan projek tersebut.
Semalam, lima kawasan di daerah Klang iaitu Bandar Bukit Raja, Kampung Batu Belah, Rantau Panjang, Meru dan Padang Jawa dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan.
Selain Klang, kawasan terjejas termasuk Seksyen 13 berdekatan Stadium Shah Alam berikutan paras air Sungai Damansara meningkat dan Setia Alam, dengan ketinggian sehingga dua kaki.