AGENDA

Israel bedil bangunan bersejarah era Uthmaniyyah di timur Lubnan

7 Nov 2024, 1:47 AM
Israel bedil bangunan bersejarah era Uthmaniyyah di timur Lubnan

BEIRUT, 7 NOV: Serangan udara Israel pada Rabu telah memusnahkan sebuah bangunan bersejarah berhampiran kompleks kuil Baalbek di timur Lubnan

Gabenor Baalbek-Hermel Bachir Khodr memberitahu Agensi Anadolu bahawa serangan itu menyebabkan kemusnahan bangunan bersejarah Manshieh.

“Bangunan ini terletak di kawasan yang diklasifikasikan sebagai tapak warisan dan berasal dari era Uthmaniyyah,” katanya.

Seorang pegawai Kementerian Kebudayaan yang enggan dikenali, memberitahu Anadolu bahawa “satu daripada serangan udara Israel memusnahkan bangunan bersejarah Manshieh, yang diklasifikasikan oleh kementerian dan berasal dari era Uthmaniyyah di Levant (1516–1918) serta terletak berhampiran dengan kompleks kuil Baalbek yang bersejarah.

Khodr berkata serangan itu adalah yang paling hampir dengan kompleks kuil Baalbek, dan pemeriksaan akan dilakukan untuk menentukan jika terdapat sebarang kerosakan dalam struktur berkenaan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, serangan udara Israel menyasarkan Baalbek, “City of the Sun,” yang terkenal dengan tapak arkeologinya, kebanyakannya bermula pada era Rom, menurut laporan itu.

Israel telah melancarkan kempen udara besar-besaran di Lubnan sejak akhir September terhadap apa yang didakwanya sebagai sasaran Hezbollah, dalam peningkatan konflik rentas sempadan antara Israel dan kumpulan Lubnan itu sejak permulaan serangan kejam Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 3,050 orang telah terbunuh dan hampir 13,700 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Israel memperluas konflik dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Okt.

-- BERNAMA-AGENSI ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619