AGENDA

Unifil kecam tindakan tentera Israel musnahkan menara pemerhati Lubnan

5 Jan 2025, 3:56 AM
Unifil kecam tindakan tentera Israel musnahkan menara pemerhati Lubnan

BEIRUT, 5 JAN: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) semalam mengecam tindakan tentera Israel memusnahkan menara pemerhati tentera Lubnan serta mengalihkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Unifil dalam kenyataan memaklumkan pasukan pengaman PBB itu menyaksikan sebuah jentolak milik tentera Israel 'memusnahkan tong biru yang menandakan garisan pengunduran antara Lubnan dan Israel di Labbouneh.'

Menurut pasukan pengaman, jentolak itu juga memusnahkan 'sebuah menara pemerhati milik Angkatan Bersenjata Lubnan yang terletak berhampiran dengan kedudukan Unifil.'

Unifil mengecam keras insiden berkenaan, dengan menyatakan bahawa 'pemusnahan secara sengaja dan langsung oleh tentera Israel terhadap kedua-dua harta benda dan infrastruktur Unifil yang boleh dikenal pasti dengan jelas milik Angkatan Bersenjata Lubnan adalah pelanggaran terang-terangan terhadap Resolusi 1701 dan undang-undang antarabangsa.'

“Kami menyeru semua pihak untuk mengelakkan sebarang tindakan, termasuk pemusnahan harta benda dan infrastruktur awam yang boleh menjejaskan pemberhentian permusuhan,” kata pasukan PBB itu.

Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang diterima pakai pada 11 Ogos 2006, menyeru agar permusuhan antara Hizbullah dan Israel dihentikan sepenuhnya dan penubuhan zon bebas senjata antara Garisan Biru dan Sungai Litani di selatan Lubnan, dengan pengecualian untuk tentera Lubnan dan Unifil.

Menjelang petang Sabtu, Israel melakukan 383 pelanggaran perjanjian gencatan senjata, menyebabkan 32 kematian dan 39 kecederaan, menurut pengiraan Anadolu berdasarkan data rasmi Lubnan.

Di bawah syarat gencatan senjata, Israel dikehendaki mengundurkan tenteranya ke selatan Garisan Biru – sempadan de facto – secara berperingkat, manakala tentera Lubnan akan ditempatkan di selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari.

Data daripada Kementerian Kesihatan Lubnan menunjukkan bahawa sejak serangan Israel terhadap Lubnan bermula pada 8 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 4,063 mangsa terbunuh termasuk wanita, kanak-kanak dan petugas kesihatan, manakala 16,664 yang lain cedera.

- BERNAMA-AA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619