AGENDA

Kes buli UPNM: Keputusan siasatan dimuktamad Jumaat ini

6 Nov 2024, 12:40 PM
Kes buli UPNM: Keputusan siasatan dimuktamad Jumaat ini

PETALING JAYA, 6 NOV: Hasil siasatan berhubung kes buli dan penderaan melibatkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dimuktamadkan pada Jumaat ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata perkara itu yang dikendalikan lembaga siasatan terdiri daripada pihak polis dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) akan turut membentangkan cadangan garis panduan melibatkan disiplin.

"Saya ada baca (mengenai perkembangan kes itu) daripada laporan media dan kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Lembaga siasatan akan muktamadkan Jumaat ini dan membentangkan cadangan mengikut garis panduan melibatkan disiplin," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata pengajian membabitkan pelajar yang terlibat dalam kejadian itu masih berjalan seperti biasa.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan setakat Ahad lepas, pihaknya telah merakam keterangan 16 individu.

ATM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada hingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata pihaknya sudah menyerahkan notis pembatalan perolehan helikopter Black Hawk kepada syarikat yang memenangi kontrak sewaan empat helikopter berkenaan.

Beliau berkata ia susulan syarikat terbabit gagal memenuhi tarikh akhir penyerahan helikopter selepas dilanjutkan hingga 30 Okt lepas.

“Tarikh serahan pada Oktober telah berakhir, jadi kita hantar notis pembatalan,” katanya.

Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter berkenaan dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Di bawah perjanjian itu helikopter pertama sepatutnya dihantar pada November 2023 tetapi dilanjutkan kepada April tahun ini.

Ogos lepas, Kementerian Pertahanan telah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk kepada Tentera Darat.

Susulan perkembangan itu, tempoh kontrak sewaan dilanjutkan hingga Oktober.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619