AGENDA

Dewan Rakyat tumpu isu buli UPNM, kegagalan pelaburan FashionValet

14 Nov 2024, 12:23 AM
Dewan Rakyat tumpu isu buli UPNM, kegagalan pelaburan FashionValet

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Usaha menoktahkan buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta faktor kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam syarikat FashionValet Sdn Bhd (FV) menjadi antara isu tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu buli di UPNM dibangkitkan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha dan kaedah yang sedang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan gejala buruk itu dinoktahkan.

Sementara itu, soalan berkenaan faktor menyebabkan kegagalan pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat FV dikemukakan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) kepada Menteri Kewangan.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) pula bertanyakan kepada Perdana Menteri tentang kesediaan kerajaan menerima pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perundangan dan perkhidmatan undang-undang dalam negara.

Pada sesi soal jawab lisan, Lim Lip Eng (PH-Kepong) mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah program berasaskan komuniti dikaji sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan imigresen dan adakah program yang sama boleh dikaji bagi banduan yang telah habis menjalankan dua pertiga daripada tempoh hukuman penjara mereka.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh (PN-Pasir Puteh) pula meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan perancangan jangka sederhana dan panjang dalam memastikan kelestarian sektor peladangan sawit yang kini hampir mencecah limitasi keluasan tanah ladang iaitu 6.5 juta hektar.

Selepas selesai sesi soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh menteri daripada setiap kementerian terlibat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619