AGENDA

Dua bekas banduan ditangkap, dipercayai rompak 20 kedai serbaneka

6 Nov 2024, 6:37 AM
Dua bekas banduan ditangkap, dipercayai rompak 20 kedai serbaneka

KOTA BHARU, 6 NOV: Dua bekas banduan yang dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 20 kes rompakan kedai serbaneka di negeri ini berjaya ditahan di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua lelaki berumur 33 dan 34 tahun yang baru keluar dari penjara pada April lepas disyaki aktif melakukan kegiatan itu di sekitar bandar raya ini, Tumpat, Pasir Mas dan Jeli.

"Modus operandi mereka merompak pada waktu malam dan menggunakan peralatan seperti gergaji elektrik, mesin penebuk serta mesin pencanai untuk memecah masuk kedai serbaneka.

"Lelaki berusia 33 tahun memiliki satu rekod jenayah dan tiga rekod dadah manakala seorang lagi memiliki tujuh rekod jenayah serta empat rekod dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-duanya yang positif dadah jenis Methamphetamine kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mohd Yusoff berkata susulan itu, polis sedang memburu seorang lelaki, Muhammad Amir Izudin Mohd Izam, 26, yang dipercayai dalang kegiatan berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitannya tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619