AGENDA

16 individu dirakam keterangan kes penuntut UPNM ditekap seterika

3 Nov 2024, 5:26 AM
16 individu dirakam keterangan kes penuntut UPNM ditekap seterika

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Polis merakam keterangan 16 individu setakat ini dalam siasatan kes buli dan dera seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya juga telah merampas seterika yang disyaki digunakan untuk menekap mangsa semalam, namun belum menerima laporan perubatan lengkap berhubung kecederaan yang dialami mangsa.

“Setakat ini sebanyak 16 individu telah dirakam keterangan dan siasatan sedang berjalan, laporan perubatan juga masih belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bernama difahamkan antara individu yang dirakam keterangan ialah mangsa, kakitangan ALK, saksi kejadian dan pegawai perubatan yang merawat kecederaan penuntut UPNM itu.

Semalam, Rusdi berkata pihaknya telah merakam keterangan suspek yang disyaki terlibat dalam kes buli dan dera berkenaan.

Terdahulu, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap kes berkenaan telah dimulakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 20 tahun membuat laporan pada Jumaat lepas.

Kejadian dipercayai berlaku di bilik asrama UPNM pada 11.45 malam, 22 Okt selepas suspek berumur 22 tahun yang juga penuntut tahun empat UPNM meminta mangsa menggosok baju kerja miliknya dan tiba-tiba mengambil seterika dipegang mangsa sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanannya sebanyak satu kali.

Tindakan penuntut senior itu menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit serta menyebabkan kecederaan melecur.

Ketika kejadian, beberapa penuntut senior dikatakan turut berada di dalam bilik berkenaan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619