AGENDA

Selangor FC: Peletakan jawatan Nidzam Jamil bukan kali pertama

31 Okt 2024, 9:30 AM
Selangor FC: Peletakan jawatan Nidzam Jamil bukan kali pertama

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar mendedahkan Nidzam Jamil pernah meluahkan hasrat meletak jawatan sebagai pengendali Gergasi Merah, sebelum ini.

Justeru, Shahril menjelaskan keputusan Nidzam melepaskan jawatan yang berkuat kuasa serta merta seperti diumumkan SFC semalam bukan kali pertama diluahkan pengendali berusia 44 tahun itu.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak mengetahui punca sebenar Nidzam bertekad untuk meletakkan jawatan walaupun Selangor dianggap berada pada prestasi terbaik di bawah bimbingannya.

"Apa punca Nidzam letak jawatan hanya dia yang tahu. Tapi sebenarnya ini bukan kali pertama Nidzam nyatakan hasrat letak jawatan," katanya lapor Berita Harian.

"Dua bulan sebelum ini pun dia pernah berbincang dengan saya, tapi kami bincang hati ke hati dan kami kata tidak mengapa, bawa dulu, kita cuba sama-sama, kita satu kapal.

"Namun, kali ini saya sudah tidak terdaya nak memujuk Nidzam. Jadi dia kata dia sudah ambil keputusan nak letak jawatan dan dia pun kata dia tiada apa-apa perancangan nak pergi tempat lain, dia cuma kata nak berehat.

"Itu yang dia katakan kepada saya, kami cuba pujuk tapi dia masih kekal dengan keputusan. Jadi apabila sudah bincang, kami menghormati keputusan dia.

"Walaupun sejujurnya berat kepada pihak kelab sebab kami memang tak sangka dan kita tahu dia menjalankan tugas dengan baik, tempat kedua dalam Liga Super dan ACL2 (Liga Juara-Juara Asia 2) pun kami ke arah positif," kata Shahril.

Semalam, Selangor FC dalam kenyataan memaklumkan kelab itu menerima permohonan Nidzam untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Selangor berkuat kuasa serta-merta.

Susulan itu, tugas ketua jurulatih pasukan utama Selangor FC akan digalas Abdi Hassan secara interim sementara kelab mengenalpasti pengganti Nidzam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619