AGENDA

Selangor FC sasar kutip tiga mata ketika bertemu Dynamic Herb Cebu FC

2 Okt 2024, 7:35 AM
Selangor FC sasar kutip tiga mata ketika bertemu Dynamic Herb Cebu FC

PETALING JAYA, 2 OKT: Selangor FC mahu menjadikan kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai inspirasi ketika bersiap sedia menentang kelab Filipina Dynamic Herb Cebu FC dalam perlawanan kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2 (ACL 2) 2024/25 di sini esok.

Ketua jurulatihnya Nidzam Jamil berkata Gergasi Merah ingin melakar kejayaan setanding pencapaian pasukan lain seperti JDT dan pasukan kebangsaan kerana ini bakal mengangkat lagi martabat bola sepak tempatan.

“Menyentuh mengenai ACL, ini petanda positif bagi kelab Malaysia untuk mempamerkan prestasi cemerlang dalam kejohanan antarabangsa. Kami juga mahu mencontohi pencapaian baik bukan sahaja oleh JDT malah juga pasukan kebangsaan kerana ia dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Kami sangat gembira kerana JDT dan kami menyertai kancah bola sepak Asia di peringkat lebih tinggi dengan JDT bersaing dalam ACL Elite dan kami dalam ACL 2,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan bertemu Dynamic Herb Cebu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai sama ada kemenangan JDT dalam Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) 2024/25 semalam memberikan inspirasi kepada Selangor untuk mengintai tiga mata.

Pasukan Harimau Selatan itu mencipta sensasi selepas meraih kejuaraan sulung dalam ACL Elite dengan menewaskan wakil China Shanghai Shenhua FC 3-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Nidzam berkata Selangor mempunyai pendekatan tersendiri untuk melakar kemenangan.

“ … kami tidak terpengaruh dengan keputusan pasukan lain, kami mempunyai cara sendiri dan perlawanan esok akan ditentukan oleh usaha kami. Kami enggan bebankan diri dengan apa jua tekanan yang tidak perlu sebaliknya menumpukan kepada kekuatan pasukan kami,” katanya.

Sementara itu, Kapten Selangor Muhammad Safuwan Baharudin berkata pasukan berada pada tahap terbaik terutama setelah meraih kemenangan penting 1-0 di tempat lawan ketika menentang Terengganu dalam perlawanan Liga Super Sabtu lalu.

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini kami sudah beraksi dengan baik dan bermain dalam beberapa perlawanan berbeza. Skuad kami berada pada tahap baik dan itu juga menjadi kekuatan utama dalam pasukan kami,” kata pemain kebangsaan Singapura berusia 33 tahun itu.

Untuk rekod, Selangor seri 1-1 ketika menentang Muangthong United dari Thailand manakala Dynamic Herb Cebu tewas 0-6 kepada kelab Korea Selatan Jeonbuk Hyundai Motors dalam perlawanan pertama kumpulan.

Setakat ini, Selangor mengekalkan rekod kemenangan di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini sekali gus menyuntik motivasi dalam misi mengumpul tiga mata pertama esok.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619