AGENDA

Selangor teliti pelaksanaan kad diskaun galak peniaga terus tawarkan Menu Rahmah

28 Okt 2024, 2:30 PM
Selangor teliti pelaksanaan kad diskaun galak peniaga terus tawarkan Menu Rahmah

KLANG, 28 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri memperinci mekanisme pelaksanaan kad diskaun bagi membolehkan peniaga Menu Rahmah membeli barangan yang ditawarkan menerusi Jualan Ehsan Rahmah dikelolakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada inisiatif menggalakkan peniaga makanan untuk terus melaksanakan penjualan Menu Rahmah di premis masing-masing.

Beliau berkata perkara itu telah dicadangkan di peringkat Persekutuan dan pihaknya sedang memperhalusinya kerana ketika ini penjualan barangan di Jualan Ehsan Rahmah di Selangor dikawal dan peniaga tidak dibenarkan membeli bagi memastikan hanya mereka yang layak dapat menikmati faedah pembelian pada harga lebih rendah.

“Penggunaan kad bagi mengenal pasti peniaga yang menawarkan Menu Rahmah sebagai sebahagian jualan mereka itu kini sedang diperincikan bagi mengelak salah guna dan memastikan pelaksanaan yang teratur.

"Perkara ini telah pun dicadangkan dan kini sedang diperhalusi dengan ia berkemungkinan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya selepas melakukan tinjauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail.

Mohd Zuhairi berkata demikian ketika mengulas sama ada KPDN Selangor mempunyai sebarang cadangan untuk meningkatkan semula penyertaaan peniaga untuk menawarkan Menu Rahmah.

Sementara itu, Rizam berkata pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan dan ia sedang diselaraskan kerajaan negeri, sekali gus menyeru supaya peniaga kekal menawarkan Menu Rahmah.

Beliau berkata pihaknya belum mempunyai angka rasmi peniaga yang menghentikan jualan Menu Rahmah, namun memantau rapat perkembangan berkenaan agar perkara itu dapat ditangani segera.

"Kita memang mengharapkan supaya semua peniaga dapat menawarkan Menu Rahmah ini sebab ia dapat membantu masyarakat dengan tawaran harga yang dianggap berpatutan," katanya.

Inisiatif Menu Rahmah diasaskan oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub melibatkan penyertaan secara sukarela peniaga untuk menawarkan jualan makanan dengan harga serendah RM5 dalam meringankan beban masyarakat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619