BERITA UTAMA

Selangor bantu 900 keluarga keluar dari miskin tegar dalam 4 bulan

28 Okt 2024, 2:00 PM
Selangor bantu 900 keluarga keluar dari miskin tegar dalam 4 bulan

SHAH ALAM, 28 OKT: Sebanyak 900 daripada 1,024 keluarga miskin tegar di negeri ini berjaya keluar daripada kategori berkenaan sepanjang Julai hingga pertengahan bulan ini, kata EXCO sumber manusia.

V Papparaidu berkata kejayaan itu hasil dan pendekatan dilaksanakan pentadbiran termasuk pemberian program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) selain sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor.

“(Julai) Sejumlah 1,024 keluarga dikesan tergolong dalam kategori miskin tegar dalam tempoh empat bulan ini. Sekarang kita dapat kurangkan kepada 124 keluarga yang mana 900 sudah dikeluarkan dari kategori itu.

“Miskin tegar perlu dihapuskan dan kita perlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mengeluarkan mereka dari kelompok itu. Pentadbiran akan berusaha mengatasi perkara ini,” katanya kepada pemberita pada Karnival Jobcare Istimewa Selangor 2024 di sini, hari ini.

Papparaidu berkata miskin tegar tidak dapat dihapuskan secara menyeluruh memandangkan ia melibatkan pelbagai faktor termasuk kematian ketua isi rumah atau diberhentikan kerja.

“Sasaran negeri menoktahkan miskin tegar pada Julai sudah dicapai namun tak boleh terus kosong. Ada kesinambungan disebabkan pelbagai punca yang menyebabkan masuk dalam miskin tegar seperti kematian, diberhentikan kerja,” katanya.

Pada Julai, Selangor berjaya mencapai sasaran menoktahkan miskin tegar hasil kerjasama pelbagai pihak dan agensi berkaitan.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapus miskin tegar menjelang 2025, namun disingkatkan pada tahun ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat.

Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntuk RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619