AGENDA

Stok bekalan ikan cukup tampung keperluan musim tengkujuh

28 Okt 2024, 10:48 AM
Stok bekalan ikan cukup tampung keperluan musim tengkujuh

PORT DICKSON, 28 OKT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa komited memastikan peningkatan pengeluaran dan bekalan makanan khususnya hasil perikanan sentiasa mencukupi terutamanya bagi Monsun Timur Laut pada November hingga Mac 2025.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata setakat ini sebanyak 1,600 tan metrik ikan sejuk beku dalam simpanan stok penimbal bagi menampung keperluan pada musim berkenaan.

"Pada dasarnya bekalan ikan kita mencukupi kerana sebelum monsun bermula nelayan dan syarikat swasta (menjual ikan) telah membuat simpanan awal," katanya kepada pemberita pada Program Rahmah Mesra MADANI LKIM dengan para nelayan Negeri Sembilan di perkarangan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang, Pasir Panjang di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata negeri Pantai Timur yang terjejas dan mengalami kekurangan ikan, bantuan bekalan ikan dari Zon Utara akan dihantar ke negeri terlibat bagi menampung permintaan.

Selain itu, Muhammad Faiz juga mengingatkan kepada peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan dengan memainkan sentimen Monsun Timur Laut dan ikan kurang.

"Tidak perlu ada kenaikan harga drastik, peniaga perlu ada tanggungjawab sosial kepada rakyat dengan menjual pada harga yang munasabah supaya kita dapat stabilkan harga ikan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menjaga kepentingan serta kebajikan nelayan yang merupakan antara golongan sasar dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan negara.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata sebanyak RM80,000 peruntukkan disalurkan bagi bantuan peralatan menangkap ikan yang melibatkan seramai 29 nelayan dari kawasan Telok Kemang.

Beliau berkata LKIM turut memberikan bantuan dalam bentuk barangan dengan nilai maksimum RM7,000 kepada nelayan berupa peralatan menangkap ikan seperti enjin, jaring dan tong e-Petrol LKIM.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619