OLEH AMIRAHWANIR RAHIMI
SHAH ALAM, 24 OKT: Selangor berhasrat mengetengahkan lagi muzik tradisional dan makanan warisan negeri kepada pelancong dalam Tahun Melawat Selangor 2025.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan bagi merealisasikan hasrat itu.
"2025 adalah Tahun Melawat Selangor, kita perlu main peranan yang besar, tahun 2026 pula Tahun Melawat Malaysia dan Selangor menjadi tuan rumah SUKMA.
"Jadi kita sebagai entiti kebudayaan dan di bawah Tourism Selangor perlu memain peranan yang besar untuk pastikan Selangor dipersada pandangan pelawat sama ada dalam dan luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Hai Selangor terbitan SelangorTV dengan topik Rentak Selangor 2024: Evolusi Muzik dan Irama 80-an, hari ini.
Sementara itu, Borhan turut memaklumkan pihaknya akan meneruskan perancangan menghasilkan drama raya terbitan Kerajaan Negeri pada 2025.
"Setiap tahun kita ada juga membuat drama, tahun ini kita ada drama 'Ayah Panggil Balik' di mana ditayangkan pada dua minggu raya dan dapat sambutan hebat, ia disiarkan di TV2, rangkingnya tinggi.
"Tahun depan kita akan teruskan rancangan ini, bawa agenda program Kerajaan Negeri di seluruh negara menerusi media sosial dan sebagainya," katanya.