ad
BERITA UTAMA

JPS diarah segera sedia laporan runtuhan tebing anak sungai

14 Okt 2024, 8:59 AM
JPS diarah segera sedia laporan runtuhan tebing anak sungai

SHAH ALAM, 14 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah menyediakan laporan kejadian tebing anak Sungai Kerayong runtuh di Taman Lembah Maju, Ampang kelmarin.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata laporan terperinci diperlukan segera bagi membolehkan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.

"Saya telah mengarahkan pihak JPS untuk segera menyediakan laporan terperinci. Buat masa ini, kawasan kejadian ditutup dan pemantauan akan sentiasa dilakukan oleh JPS dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Izham meninjau lokasi kejadian di Taman Lembah Maju, Ampang yang mengakibatkan dua kenderaan mengalami kerosakan akibat hampir terjunam ke dalam runtuhan.

Berikutan itu, MPAJ bertindak mengalihkan kenderaan terbabit dan memaklumkan JPS akan melaksanakan pembaikan struktur tebing anak Sungai Kerayong yang rosak.

MPAJ juga mengingatkan penduduk supaya bersiap sedia menghadapi sebarang bencana terutamanya ketika musim peralihan monsun dan musim tengkujuh yang diikuti hujan lebat dan angin kuat.

Sekiranya terdapat berlaku sebarang bencana orang ramai boleh menghubungi Skuad Pantas di talian 03-4285 7333.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.