ad
AGENDA

Ibu bapa perlu luang lebih masa, interaksi bersama anak

5 Okt 2024, 8:21 AM
Ibu bapa perlu luang lebih masa, interaksi bersama anak

SEREMBAN, 5 OKT: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan ibu bapa agar meluangkan lebih masa dan berinteraksi bersama anak-anak bagi memupuk hubungan lebih harmoni.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) berkata tindakan itu juga dapat membantu menangani isu kesihatan mental seperti kemurungan yang boleh berlaku kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

"Masalah kemurungan naik dua kali ganda, sebagai individu kita perlu lihat bagaimana hendak menanganinya…lihat anak-anak terutamanya golongan muda, semua dengan handphone (telefon bimbit). Mereka (anak-anak) tidak dengan kita tetapi (berada) di alam maya.

"Sebagai ibu bapa, lihat juga bagaimana kita meluangkan masa dengan anak-anak. Kita juga dengan handphone (dan) tiada interaksi dengan mereka," katanya ketika berucap pada Program Cahaya Dhuha Sejahtera Jiwa di Masjid Sendayan di sini hari ini.

Program anjuran Kasih Malaysia, Bakriyah Negeri Sembilan dan Masjid Sri Sendayan itu turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah) Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Terdahulu, Dr Wan Azizah bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat sunat dhuha dan bacaan Al-Mathurat Sughra di masjid itu.

Sementara itu, Wan Hasni berkata program tersebut diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut 10 Okt setiap tahun sebagai usaha global untuk meningkatkan kesedaran isu berkaitan kesihatan mental.

Beliau berkata semua pihak dan organisasi perlu memahami dan menyokong isu berkaitan kesihatan mental serta berusaha menghapuskan stigma yang sering menghalang individu daripada mendapatkan bantuan.

“Semua pihak perlu menyedari bahawa masalah kesihatan mental tidak mengenal usia, latar belakang, atau status sosial, justeru usaha serta sokongan semua pihak amat diperlukan,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.