AGENDA

Polis: Dakwaan lelaki pandu MPV cuba culik murid di Kuala Pilah palsu

3 Okt 2024, 2:45 PM
Polis: Dakwaan lelaki pandu MPV cuba culik murid di Kuala Pilah palsu

SEREMBAN, 3 OKT: Dakwaan cubaan menculik seorang murid darjah lima berhampiran sebuah sekolah di Kuala Pilah seperti yang tular di laman sosial hari ini adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata siasatan lanjut pihaknya selepas menerima laporan daripada keluarga murid berkenaan pada 4.25 petang semalam, mendapati kejadian itu tidak benar.

“Ketika siasatan terhadap kanak-kanak tersebut, dia mengatakan dihampiri oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan pakaian serba hitam memandu kenderaan pelbagai guna (MPV). Dia juga mendakwa turut dipegang individu berkenaan sebelum berjaya melarikan diri.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati kanak-kanak lelaki tersebut mereka cerita tentang kejadian itu berikutan takut dimarahi bapanya kerana pulang berjalan kaki seorang diri ke pekan Kuala Pilah tanpa pengetahuan bapanya,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sehubungan itu, Amran menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan tidak benar di laman sosial yang boleh menyebabkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, tular satu catatan di laman sosial mengenai kejadian seorang pelajar sekolah rendah dikatakan cuba dibawa lari oleh individu tidak dikenali di hadapan pondok hentian bas berdekatan sebuah sekolah.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619