AGENDA

KKM kesan lima produk kosmetik ada racun berjadual

30 Sep 2024, 11:20 AM
KKM kesan lima produk kosmetik ada racun berjadual

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi lima produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan produk berkenaan ialah Karisma Aqua Birds Nest yang mengandungi racun hidrokuinon manakala Skin Revolution - PAP - Blemish Control Serum dan Skin Revolution -PAP- Blemish Fade Cream masing-masing mengandungi clindamycin dan metronidazole.

Turut disenarai ialah Ufora Daily Treatment 10g yang mengandungi racun betamethasone 17-valerate, sementara Dnars Gold Debalen Cream (Night) dikesan mengandungi racun hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, produk yang mengandungi hidrokuinon, clindamycin, metronidazole, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hidrokuinon menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, manakala tretinoin menyebabkan kulit menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Penggunaan clindamycin dan metronidazole memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan, sementara betamethasone 17-valerate mengakibatkan kulit menjadi nipis, iritasi serta berjerawat,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619