AGENDA

KKM kenal pasti satu kes baharu jangkitan cacar monyet

11 Jan 2025, 1:41 PM
KKM kenal pasti satu kes baharu jangkitan cacar monyet

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kes baharu jangkitan cacar monyet atau Mpox dilaporkan semalam, melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 24 tahun.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pesakit berkenaan terlibat dalam aktiviti berisiko dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari.

“Pesakit telah mendapatkan rawatan pada 10 Jan, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital,” menurut kenyataan itu.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Mpox di negara ini sebanyak 12 kes sejak Julai 2023, melibatkan sembilan kes pada 2023, dua kes pada 2024 dan satu kes tahun ini dengan kesemua kes merupakan clade II.

Virus Mpox clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus manakala clade II mempunyai kadar kematian lebih rendah.

Menurut KKM, pihaknya terus memantau situasi Mpox di dalam serta luar negara, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan rasmi terus daripada saluran sahih dengan mengikuti akaun media sosial KKM dan soalan lazim (FAQ) berkenaan Mpox boleh dicapai di pautan mpox.moh.gov.my/ms/soalan-lazim,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619