AGENDA

Anwar ingatkan otai, ahli muda kenang perjuangan reformasi

21 Sep 2024, 7:05 AM
Anwar ingatkan otai, ahli muda kenang perjuangan reformasi

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Otai reformasi dan pejuang muda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu mengingati asas penubuhan parti selain tidak lalai dengan kuasa yang dipegang.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua ahli tanpa mengira latar belakang, pangkat dan jawatan perlu sentiasa berpegang kepada asas itu dan tidak bersikap angkuh serta sombong.

“Ingat pengalaman perit perjuangan dilakukan pejuang terdahulu untuk menegakkan keadilan. Hentikan penyakau, penindasan, perasuah. Kita (parti) untuk satukan semangat rakyat pelbagai kaum, Melayu, Cina, India, Kadazan.

“Jangan padamkan sejarah. Sejarah mengajar kita tidak lupakan asas perjuangan. Kita ada kuasa, jangan lalai dengan kuasa. Kita pegang amanah (sebagai) menteri, menteri besar, pelbagai jawatan jangan lupa asas perjuangan.

“Kita bangkit dengan segala usaha dan kepayahan. Untuk apa ribuan dipukul, dipenjara, dibelasah dan disiksa? Untuk memberi makna apa itu merdeka dan menghentikan amalan rasuah serta kesombongan yang berlaku,” katanya.

Beliau berucap ketika Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Axiata malam tadi bagi mengimbau sejarah perjuangannya selain peristiwa hitam ditangkap pada tarikh sama 26 tahun lalu.

Perdana menteri juga mengingatkan barisan pejuang parti supaya tidak gentar terhadap ugutan dan fitnah dilempar pembangkang kerana parti bangkit ketika sedang berdepan gelombang yang sangat dasyat.

“Bertarung dengan segala kekuatan. Hadapi tekanan yang tak pernah dilalui sejak merdeka tapi alhamdulillah kami tetap bangkit dan sekarang pegang tampuk pemerintahan negara.

“Malam ini (malam tadi) kita mahu KEADILAN kembali kuat dan jadi benteng negara,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619