AGENDA

Pelan pendidikan baharu, reformasi sekolah antara tumpuan utama KPM

27 Mei 2025, 7:55 AM
Pelan pendidikan baharu, reformasi sekolah antara tumpuan utama KPM

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan utama ke arah membangunkan pelan pendidikan baharu (2026-2035), Kurikulum Persekolahan 2027 dan agenda Reformasi Sekolah pada tahun ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM juga sedang berusaha melanjutkan dasar pendidikan wajib ke peringkat menengah sekali gus meminta kerjasama semua Exco serta pimpinan negeri untuk merealisasikan hasrat murni itu demi masa depan anak-anak.

“Pendidikan negara adalah hak semua anak Malaysia. Maka usaha untuk membangunkannya perlu dilakukan bersama dengan bersungguh-sungguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pendidikan Negeri yang diadakan semalam, platform terbaik untuk menterjemahkan kebersamaan dan komitmen semua pihak bagi membangunkan pendidikan.

“Ia peluang untuk menyampaikan perkembangan terkini pendidikan negara, membincangkan isu-isu berbangkit di peringkat negeri dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya turut mengambil maklum semua pandangan dan sumbang saran yang diberi sewaktu mesyuarat. Apa saja usaha untuk kebaikan sektor pendidikan perlu disambut baik.

“Semoga hubungan antara KPM dan kerajaan negeri akan terus diperkukuh bagi meningkatkan kecemerlangan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Fadhlina berkata dalam mesyuarat itu beliau turut berkongsi mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Program intervensi yang dilaksanakan di peringkat negeri ternyata membuahkan hasil. Syabas semua!”

“Keciciran SPM turut berjaya ditangani dengan baik. Kadar keciciran pada 2024 jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Semoga usaha baik di semua peringkat dapat diteruskan sekali gus menoktahi keciciran,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619