AGENDA

40,000 dijangka banjiri Padang Merdeka rai sambutan Hari Malaysia

5 Sep 2024, 12:30 PM
40,000 dijangka banjiri Padang Merdeka rai sambutan Hari Malaysia

KOTA KINABALU, 5 SEPT: Seramai 30,000 hingga 40,000 orang dijangka menghadiri sambutan Hari Malaysia 2024 yang akan berlangsung di Padang Merdeka di sini pada 16 Sept ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata sehingga kini persiapan berjalan lancar, dengan kerja pemasangan khemah dan bahagian pentas telah dimulakan hari ini selain turut memperhalusi beberapa perkara sebelum acara berlangsung.

Tanpa mendedahkan corak dan konsep persembahan secara terperinci, beliau berkata pengisian acara sambutan itu bakal menjadi detik yang akan diingati para hadirin terutama dalam menaikkan semangat patrotik dan cintakan Malaysia.

“Saya rasa kita akan ada persembahan yang bagus, akan menyeronokkan dan paling penting sekali akan menyemarakan rasa cinta dan sayang kita kepada negara. Saya harap semua dapat datang atau yang tidak hadir secara fizikal, sambutan disiar secara langsung di RTM dan media sosial.

“Kita mengutamakan bakat tempatan Sabah tetapi bukan terkenal di Sabah sahaja tetapi juga memikat hati komuniti antarabangsa. Saya tidak boleh cerita dahulu (persembahan ditampilkan) tunggu nanti 16 Sept,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Padang Merdeka di sini bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew, untuk meninjau persiapan sambutan tersebut.

Fahmi berkata pagi tadi, beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bagi menyampaikan jemputan rasmi sempena sambutan Hari Malaysia 2024 di Istana Seri Kinabalu di sini.

Pada kunjungan itu beliau berkata Juhar turut memberi pandangan mengenai aspek sambutan nanti dan perkara tersebut sedang diteliti serta dilaksanakan bagi memperhebat sambutan.

“Kita akan promosi acara ini dengan hebat, pemasangan papan iklan, poster dan sebaran termasuk Komuniti Madani di Sabah. Orang ramai yang dekat dan jauh mari kita hadir sama-sama raikan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619