ad
AGENDA

Gaduh isu parkir, lelaki terima 35 jahitan akibat ditetak

5 Sep 2024, 12:28 PM
Gaduh isu parkir, lelaki terima 35 jahitan akibat ditetak

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Seorang lelaki menerima 35 jahitan di kepala dan tangan sebelah kiri akibat dipukul dan ditetak dalam satu perselisihan faham di kawasan parkir Blok C Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita pada 7.24 petang semalam berkenaan insiden anak saudaranya dipukul dan ditetak di bahagian kepala oleh seorang lelaki.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan seorang suspek lelaki berusia 27 tahun yang bekerja di Pasar Borong Selayang dengan bantuan orang awam di tempat kejadian, manakala pemuda berumur 24 tahun yang ditetak kini dirawat di Hospital Selayang, dan berada dalam keadaan stabil.

“Turut dirampas ketika tangkapan ialah sebilah pisau pemotong, sebuah kereta Perodua Myvi dan beberapa kunci,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Ahmad Sukarno berkata suspek direman lima hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah sehingga mendatangkan kecacatan kekal.

Terdahulu tular beberapa klip video memaparkan pergelutan dan pergaduhan melibatkan dua individu terbabit sambil dileraikan oleh orang awam dipercayai berhubung isu parkir berlapis.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.