SHAH ALAM, 3 SEPT: Pembukaan Menara SkyCity di i-City dekat sini Disember depan menjadi tarikan baharu Tahun Melawat Selangor 2025, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Selain menara setinggi 54 meter itu, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata Gamuda Luge Gardens di Rawang dan taman tema air Gamuda Splash Mania di Kuala Langat juga antara tumpuan.
“Tiga kawasan ini antara lokasi baharu yang boleh menarik kehadiran ramai dan pastinya menjadi tumpuan. Kita yakin tiga lokasi ini akan menambahkan lagi jumlah pelancong.
“Dalam masa sama, kita akan pastikan lokasi sedia ada sentiasa terjaga dan memiliki kemudahan infrastruktur yang beri keselesaan kepada pengunjung,” katanya kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_590506" align="aligncenter" width="706"] Suasana di taman tema air SplashMania di Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat ketika tinjauan pada 2 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Projek Menara SkyCity, mercu tanda terbaharu Shah Alam dengan kos RM15 juta menggabungkan sistem lampu diod pemancar cahaya dan dilengkapi gelongsor kaca sepanjang 600m.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lokasi itu bakal menarik kira-kira lima juta pengunjung, bersamaan 70 peratus sasaran tujuh juta pelancong tahun depan.
Sempena tahun melawat negeri juga, lebih 60 program dirancang dengan jangkaan mampu menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.