SHAH ALAM, 1 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menganjur program Jualan Ehsan Rahmah (JER) bersekali dengan pemeriksaan kesihatan percuma esok.
Wakil rakyatnya S Preakas berkata inisiatif bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan sekali gus mengesan penyakit di peringkat awal.
[caption id="attachment_661242" align="alignleft" width="389"] Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas[/caption]
“Penjagaan kesihatan menjadi fokus DUN Kota Kemuning kerana kita ingin melahirkan masyarakat bebas penyakit dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Berikutan itu, kita ambil keputusan untuk sekalikan JER bersama dengan pemeriksaan asas kesihatan. Selain itu, kita juga membuka kaunter insentif lain seperti Skim Mesra Usia Emas dan Skim Air Darul Ehsan,” katanya.
Beliau ditemui pada kejohanan bola sepak Piala DUN Kota Kemuning di Stadium Belia dan Sukan di sini, hari ini.
Preakas menambah hampir 10 penduduk telah dirujuk ke Hospital Serdang bagi menjalani pemeriksaan lanjut selepas proses saringan kesihatan jantung pada Jun lalu.
“DUN Kota Kemuning bekerjasama dengan pihak swasta mengadakan pemeriksaan kesihatan jantung khusus untuk golongan kurang berkemampuan.
“Seramai 38 individu hadir menjalankan pemeriksaan dan hampir 10 individu berisiko dan perlu dirujuk untuk tindakan lanjut,” katanya.