AGENDA

Menteri: DBKL, syarikat terlibat disaran buat pemetaan utiliti bawah tanah

24 Ogos 2024, 4:24 AM
Menteri: DBKL, syarikat terlibat disaran buat pemetaan utiliti bawah tanah
Menteri: DBKL, syarikat terlibat disaran buat pemetaan utiliti bawah tanah

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi terlibat serta syarikat utiliti disaran bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika pembangunan sesuatu projek.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pemetaan utiliti itu penting, bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik, yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

“Saya sebagai ahli Parlimen telah terima banyak aduan apabila satu kawasan itu hendak dibangunkan, kerja-kerja korek menunjukkan ada kabel besar TNB contohnya, tapi tiada dalam peta.

“Jadi saya lihat kita perlu berikan kerjasama kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memastikan kita bukan hanya ada pemetaan di bahagian permukaan, tapi juga pemetaan utiliti. Saya serahkan kepada Datuk Bandar dan sudah pasti kami dalam kalangan ahli Parlimen kita akan menyokongnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Gotong-Royong Mega Merdeka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Program pembersihan secara serentak melibatkan 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, julung kali diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Sementara itu, Maimunah berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan semua agensi yang mempunyai utiliti bawah tanah, untuk berbincang mengenai pemetaan utiliti bagi mengelakkan insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Masjid India semalam.

“Saya telah pun melihat bahawa kita ada GIS (Sistem Maklumat Geografi), selain itu kita perlu ada pemetaan bukan sahaja dari segi utiliti, pemetaan dari segi kemudahan-kemudahan DBKL juga diperlukan, contohnya kawasan lapang, mana yang telah digazetkan dan mana yang telah pun yang ada vandalisme, mana yang perlu dinaik taraf,” katanya.

[caption id="attachment_659586" align="aligncenter" width="816"] Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa terjatuh dan tertimbus tanah mendap di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Insiden pada 8.20 pagi semalam menyaksikan seorang warga wanita India Jayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter ketika berjalan bersama keluarganya di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Dalam pada itu, Maimunah memaklumkan DBKL telah memetakan 35 lokasi hotspot banjir setakat ini.

“Sebelum ini dah ada 21 hotspot banjir dan disebabkan perubahan cuaca, kita dalam beberapa hari yang lepas telah melakukan perbincangan dan melihat ada 14 hotspot lagi yang dikenal pasti,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619