AGENDA

Gelombang kedua bah: SKMM siap siaga tangani isu liputan telekomunikasi

8 Dis 2024, 7:30 AM
Gelombang kedua bah: SKMM siap siaga tangani isu liputan telekomunikasi

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini bersiap siaga menangani sebarang isu liputan telekomunikasi di kawasan terjejas menjelang gelombang kedua banjir yang diramalkan bermula hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hampir semua 323 menara pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir gelombang pertama sebelum ini telah kembali pulih dan beroperasi sepenuhnya.

“Kita akan terus memantau prasarana telekomunikasi, khususnya dengan jangkaan gelombang kedua banjir bermula hari ini hingga 11 Dis," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata SKMM akan menyegerakan urusan baik pulih menara pemancar yang terjejas bagi memastikan penduduk setempat tidak terputus talian komunikasi ketika kecemasan.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula hari ini, dengan Pahang dan Johor dijangka terjejas dengan bencana tersebut.

Terdahulu, dalam program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyampaikan sumbangan kotak bantuan asnaf kepada keluarga yang memerlukan di kawasan berkenaan.

Sebanyak 500 kotak bantuan diedarkan kepada penerima yang layak semasa program itu, selain penyediaan makanan panas kepada lebih 1,000 orang melalui inisiatif Mobile Kitchen Mapim.

Program itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada 200 penduduk melalui perkhidmatan Bas Mobile Clinic dua tingkat. Antara aktiviti lain yang diadakan bagi memeriahkan acara, termasuk Kenduri Rakyat, jualan Rahmah, e-sukan, sukaneka, dan pertandingan mewarna.

Pada sebelah pagi, Fahmi turut menziarah kediaman pasangan kurang upaya penglihatan Mohd Khir Sidek, 52 dan Rosnita Lah, 44 di PPR Seri Cempaka, di sini, yang merupakan satu daripada empat rumah yang dipilih untuk dicat semula bersempena program jejalah itu.

Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam di kediaman pasangan itu untuk membantu mengecat rumah dan menyampaikan sumbangan kepada mereka, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 17 tahun.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619