AGENDA

Menteri: Situasi Covid-19 di Malaysia terkawal, tiada ledakan kes

18 Ogos 2024, 8:15 AM
Menteri: Situasi Covid-19 di Malaysia terkawal, tiada ledakan kes

KUALA SELANGOR, 18 OGOS: Situasi Covid-19 di Malaysia dalam keadaan terkawal dan tiada ledakan kes direkodkan selepas lebih dua tahun negara beralih ke fasa hidup bersama pandemik itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan pemerhatian Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kes jangkitan dan kemasukan pesakit ke hospital atau fasiliti kesihatan juga dalam keadaan terkawal.

“Namun, kita tidak mahu terlalu selesa dan akan terus memantau institusi kesihatan awam termasuk membuat hebahan umum jika berlaku peningkatan kes," katanya ditemui selepas melancarkan Program Kampung Angkat Madani Kampung Bukit Badong di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai program termasuk pemeriksaan serta saringan kesihatan sedang dan akan dilaksanakan hingga akhir tahun ini di dua Kampung Angkat Madani kementerian itu iaitu Kampung Bukit Badong dan Kampung Harmoni di Kuala Selangor.

“Sebanyak sembilan program pengesanan, dua program pencegahan dan satu program rawatan kesihatan telah dijalankan sejak Julai lepas mensasarkan tiga kumpulan iaitu kanak-kanak seawal dua tahun, remaja dan dewasa serta warga emas.

“Menerusi pelbagai program kesihatan ini, kita harap dapat membantu masyarakat mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) di peringkat awal dan memastikan mereka menerima rawatan bersesuaian,” katanya.

Dzulkefly berkata projek Kampung Angkat Madani KKM turut merangkumi peningkatan infrastruktur awam dan kesihatan yang bakal memberikan manfaat kepada 942 keluarga merangkumi 4,585 penduduk di dua kampung berkenaan.

Program Kampung Angkat Madani diperkenalkan pada Belanjawan 2024 melibatkan peruntukan RM100 juta dengan setiap kampung terpilih menerima peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619