AGENDA

Bomba: Aktiviti manusia disyaki punca kebakaran hutan, belukar

20 Jul 2025, 7:56 AM
Bomba: Aktiviti manusia disyaki punca kebakaran hutan, belukar

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 JULAI:  Kebakaran hutan dan belukar yang dilaporkan sejak beberapa hari lepas dipercayai berpunca daripada perbuatan manusia, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata keadaan cuaca ketika ini tidak cukup panas untuk mencetuskan kebakaran secara semula jadi.

“Penyalaan sendiri tak mungkin berlaku dengan cuaca sekarang. Jadi, besar kemungkinan kebakaran ini berpunca daripada manusia, walaupun kita tidak membuat siasatan forensik khusus,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Nor Hisham berkata antara kejadian terkini ialah kebakaran hutan seluas kira-kira 1.2 hektar di kawasan bukit Kajang Prima, Selangor semalam, yang memerlukan 22 anggota bomba serta empat jentera untuk memadamkan kebakaran terbabit.

Sebelum itu, kejadian kebakaran belukar dilaporkan berlaku berhampiran kawasan Bukit Jalil di sini, sehingga memaksa pasukan bomba mengambil tindakan pantas bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.

Nor Hisham berkata sebanyak 7,223 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, membabitkan kebakaran kebun atau ladang, hutan, belukar dan sampah.

Kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 4,733 kes diikuti kebakaran sampah (1,662 kes), hutan (537 kes) dan kebun atau ladang (291 kes).

Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 1,364 kejadian diikuti Perak (938), Johor (831), Kedah (662), Kuala Lumpur (113) dan Labuan (44), manakala Putrajaya mencatatkan jumlah terendah dengan lapan kes.

Sementara itu, beberapa kawasan di Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing termasuk Johan Setia dan Nilai merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini, dipercayai berpunca daripada asap kebakaran hutan di Indonesia yang dibawa angin ke Semenanjung Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Nor Hisham menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang tanda awal kebakaran bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619