AGENDA

Bilangan penganggur berkurang kepada 557,800 pada suku kedua tahun ini

9 Ogos 2024, 7:22 AM
Bilangan penganggur berkurang kepada 557,800 pada suku kedua tahun ini

PUTRAJAYA, 9 OGOS: Bilangan tenaga buruh pada suku kedua tahun ini mencatatkan trend positif dengan peningkatan sebanyak 1.1 peratus kepada 17.15 juta orang berbanding 16.96 juta orang pada suku pertama tahun ini.

Kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menyebut bilangan penduduk bekerja naik sebanyak 1.2 peratus, mencecah 16.59 juta orang pada suku tahun yang sama berbanding 16.4 juta orang pada suku sebelumnya.

"Bilangan penganggur terus berkurang sebanyak 0.6 peratus kepada 557,800 orang pada suku kedua tahun ini berbanding 561,100 orang pada suku pertama tahun ini, merekodkan kadar pengangguran 3.3 peratus pada suku tahun kedua 2024," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bilangan tenaga buruh terus meningkat pada Jun lepas dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.17 juta orang berbanding 17.15 juta pada bulan sebelumnya.

Manakala bilangan penganggur pada bulan itu turun sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 565,300 orang berbanding 566,100 orang pada Mei 2024.

Menerusi kenyataan itu, pada Jun 2024, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.61 juta orang berbanding 16.58 juta orang pada Mei 2024.

"Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi.

"Trend penduduk bekerja yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, serta pertanian," kata kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619