AGENDA

Rakyat Malaysia dinasihat tangguh semua perjalanan ke Bangladesh

7 Ogos 2024, 2:47 PM
Rakyat Malaysia dinasihat tangguh semua perjalanan ke Bangladesh

PUTRAJAYA, 7 OGOS: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan ke Bangladesh berikutan situasi negara itu yang masih belum stabil, kata Kementerian Luar.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata ia sedang memantau rapi keadaan di Bangladesh menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

“Kementerian ini juga mengambil maklum pembentukan kerajaan interim Bangladesh bagi memastikan urusan pentadbiran negara dapat berfungsi seperti biasa.

Warganegara Malaysia yang berada di Bangladesh adalah dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, serta sentiasa berwaspada, mengelak daripada berada di kawasan konflik dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu.

Ia berkata sebarang perkembangan terkini ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sekiranya berlaku kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka di alamat House No. 19, Road No. 6, Baridhara Diplomatic Enclave, Dhaka– 1212, atau di talian +880241081892 / 1895 dan +88 018 4179 8077 (untuk kecemasan sahaja) atau e-mel di mwdhaka@kln.gov.my.

Media melaporkan lebih daripada 200 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan yang bermula sebagai gerakan menentang kuota pekerjaan dalam kerajaan pada pertengahan Julai. Protes itu kemudian berkembang menjadi kempen untuk menyingkirkan Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Pada Isnin, Hasina meninggalkan Bangladesh di tengah-tengah peningkatan desakan supaya beliau meletakkan jawatan berikutan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kerajaan pimpinannya.

Agensi Anadolu melaporkan pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan peralihan negara itu berikutan peletakan jawatan Hasina.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619