AGENDA

Pemandu bas didakwa memandu secara melulu, nahas empat maut, 35 cedera

1 Ogos 2024, 5:57 AM
Pemandu bas didakwa memandu secara melulu, nahas empat maut, 35 cedera

ROMPIN, 1 OGOS: Pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian di Kilometer 126 Jalan Kuantan–Segamat pada 9 Jun lalu.

Zamry Pon, 50, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat dan berpelitup muka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira 12.30 tengah malam dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim menawarkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Denial Khairul Hizam memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya kini tidak bekerja berikutan masih dalam rawatan akibat kecederaan pada pinggang dan kaki selain perlu menanggung isteri, empat anak yang masih bersekolah termasuk seorang adik Orang Kurang Upaya (OKU).

Woon kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk serahan dokumen.

Dalam nahas 9 Jun lalu, empat maut, manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri suatu program terbabit kemalangan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619