AGENDA

Skuad silambam Selangor yakin sumbang emas pada SUKMA Sarawak

30 Jul 2024, 7:27 AM
Skuad silambam Selangor yakin sumbang emas pada SUKMA Sarawak

SHAH ALAM, 30 JULAI: Persiapan pasukan Silambam Selangor hampir sempurna dan hanya menanti detik untuk turun ke gelanggang bagi memburu lima pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21.

Ketua Jurulatihnya V. Uthaya Kumar yakin skuad itu mampu menyumbang kilauan emas bersandarkan kepada barisan atlet berpengalaman bagi membawa cabaran Selangor dalam acara yang kali pertama diiktiraf pada temasya dwitahunan itu.

"Latihan kita sudah memasuki fasa intensif menyaksikan atlet melalui lima kali sesi latihan dalam seminggu dan untuk tiga minggu terakhir ini kita akan kerah habis-habisan.

"Dari segi persiapan kita bersedia 95 peratus dan lima peratus lagi hanya tunggu masa untuk berlepas sebelum mempamerkan aksi demi menjulang nama Selangor," katanya ketika ditemui Bernama semasa sesi latihan pasukan itu hari ini.

Beliau berkata pasukan Selangor akan beraksi dalam acara Thanithiramai, Kuthu Varisai, Poruthal (tempur bersenjata) serta persembahan berirama bersenjata dan tanpa senjata.

Uthaya Kumar berkata Sarawak antara pasukan yang dikenal pasti mampu menggugat peluang anak buahnya menyumbang pingat.

Selepas lapan bulan berlatih bersama beliau yakin barisan atlet mampu mencabar mana-mana pasukan, namun dalam masa yang sama mereka diingatkan tidak memandang rendah keupayaan lawan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan sebanyak lima sukan tambahan termasuk Silambam bakal dipertandingkan pada penganjuran kali ini susulan persetujuan yang dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619