AGENDA

Lunas janji, Yew Jien dedikasi pingat SUKMA buat mendiang bapa

23 Ogos 2024, 3:30 PM
Lunas janji, Yew Jien dedikasi pingat SUKMA buat mendiang bapa

KUCHING, 23 OGOS: Perenang muda Selangor Loke Yew Jien mengotakan janji terhadap mendiang bapanya untuk membawa pulang pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Yew Jien, 18, membolot emas acara 4x100 meter(m) rampaian dan 4x200 meter(m) gaya bebas berganti-ganti, 4x100m gaya bebas berganti-ganti (perak) dan 100m gaya bebas individu lelaki (gangsa) sepanjang saingan berlangsung dari 19 Ogos hingga hari ini.

Bagaimanapun, Yiew Jien, 18, sedih tidak dapat berkongsi kejayaan manis dilakar pada temasya dwitahunan itu bersama bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lepas akibat serangan jantung.

“Sejak kecil, ayah sentiasa menyokong minat saya dalam sukan renang malah sering paksa saya jalani latihan. Saya pernah janji kepadanya untuk bawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat melalui penyertaan di SUKMA.

“Akhirnya saya dapat capai lebih daripada itu. Saya gembira cuma sedikit terkilan kerana ayah tidak dapat tengok kejayaan saya di sini. Terima kasih ayah, kemenangan ini untukmu,” katanya ditemui di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini.

Anak bongsu daripada dua beradik turut mendedikasi kejayaan itu kepada ibunya yang menjadi tulang belakang sejak menceburi karier renang termasuk jurulatih dan rakan sepasukan.

“Setiap hari mereka beri aura cukup positif kepada saya dan tanpa mereka saya tidak akan berada di sini,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Seri Cahaya, Shah Alam.

Anak kelahiran Selangor yang menetap di Ara Damansara, Petaling Jaya turut merancang menyambung pelajaran selepas ini selain memberi sepenuh perhatian terhadap kerjayanya sebagai atlet renang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619