AGENDA

Skuad e-Racing Selangor perhebat latihan, buru pingat di SUKMA Sarawak

27 Jul 2024, 1:00 PM
Skuad e-Racing Selangor perhebat latihan, buru pingat di SUKMA Sarawak

SHAH ALAM, 27 JULAI: Pasukan pelumba maya (e-Racing) Selangor giat memperhebat latihan dalam misi memburu tiga pingat emas yang ditawarkan pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak bermula 17 Ogos ini.

Jurulatih Ahmad Akmal Fitri Mohd Ghazali berkata latihan kini berada pada fasa intensif iaitu atlet terlibat perlu membiasakan diri dengan tiga kategori pertandingan yang disertai iaitu Single Race, Time Attack dan Two-Team Racing.

Beliau menjangkakan cabaran getir menanti anak buahnya terutamanya daripada Sarawak, Perak dan Kedah.

“Atlet kita masih lagi baharu dalam permainan RaceRoom ini...mereka memang biasa bermain permainan lumba tetapi platform yang berbeza iaitu Gran Turismo dan Super Formula Championship jadi mekanisme permainan itu berlainan.

“Setakat ini kalau kita tengok ranking mereka dalam permainan ketika latihan untuk Single Race dan Time Attack, mereka dapat menyaingi 10 terbaik yang ada dalam ranking permainan ini,” katanya kepada Bernama.

E-Racing merupakan satu daripada acara e-sukan dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu yang menawarkan keseluruhan 21 pingat emas.

Ahmad Akmal Fitri berkata walaupun dibarisi muka baharu, beliau yakin anak didiknya mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan negeri lain yang mempertaruhkan pemain lebih berpengalaman.

Pemain kategori Single Race, Megat Zain E’sham Zaphrin berkata beliau kini menumpukan latihan kepada aspek pemahaman peta litar serta mekanikal permainan selain cukup teruja menanti hari kejohanan.

“Saya cukup teruja dan bertekad memberikan persembahan terbaik untuk menyumbang pingat kepada pasukan Selangor,” kata pelajar jurusan sains komputer dari sebuah universiti swasta itu.

Pada edisi kali ini, sebanyak 15 pemain akan mewakili Selangor dalam empat acara e-sukan yang dipertandingkan iaitu e-Racing, Mobile Legends Bang Bang, e-Football dan Tekken 8.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619