AGENDA

Pencemaran bau Sungai Kundang, Sungai Sembah: JAS tahan dua individu

24 Jul 2024, 11:57 AM
Pencemaran bau Sungai Kundang, Sungai Sembah: JAS tahan dua individu

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan dua individu bagi membantu siasatan kes pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah serta henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor SSP 1, 2 dan 3 semalam.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata susulan insiden pencemaran bau itu, JAS telah menjalankan siasatan ke sebuah premis yang disyaki iaitu memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati punca pencemaran bau akibat kebocoran bahan kimia dikenali sebagai Poly Metha Acrylic Acid (PMAA) daripada tangki penstoran yang merupakan produk yang dihasilkan oleh premis terbabit berbentuk cecair,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tumpahan produk itu akhirnya melimpah ke longkang premis bersebelahan sehingga longkang jalan besar dan seterusnya ke Sungai Kuang.

“Aliran Sungai Kuang akan memasuki Sungai Kundang kemudiannya ke Sungai Sembah dan seterusnya memasuki Sungai Selangor. Kebocoran bahan kimia berkenaan telah menyebabkan pelepasan bau kerana ciri-ciri bahan kimia PMAA yang berbau kuat dan tengik,” katanya.

Susulan itu, Wan Abdul Latiff berkata arahan serta-merta telah dikeluarkan oleh JAS kepada pengusaha premis untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di dalam premis, kawasan longkang dan anak sungai yang terkesan.

“Kerja-kerja terbabit telah selesai pada petang semalam oleh kontraktor yang dilesenkan oleh jabatan.

“Sebanyak tiga sampel bahan bukti turut diambil dan sudah dikemukakan ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk ujian penentuan komposisi dan pemadanan,” katanya.

Beliau berkata kawasan operasi premis berserta peralatan kelengkapan proses telah disita oleh JAS melalui pengeluaran notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga siasatan selesai.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori hingga lima tahun dan denda hingga RM10 juta jika disabitkan dengan kesalahan mencemar sungai.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619