BERITA UTAMA

Air bersih disalur mulai 8 pagi esok, bekalan pulih sepenuhnya Jumaat

23 Jul 2024, 3:18 PM
Air bersih disalur mulai 8 pagi esok, bekalan pulih sepenuhnya Jumaat

SHAH ALAM, 23 JULAI: Bekalan air bersih dijangka disalur secara berperingkat mulai jam 8 pagi esok di tujuh daerah terjejas akibat henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA).

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pihaknya menjangka bekalan air di semua kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pulih sepenuhnya Jumaat ini.

"Pengagihan air melibatkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula pukul 6 petang tadi manakala tiga Sungai Selangor Fasa (SSP) dijangka pada 8 pagi esok (24 Julai).

"Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mengambil sedikit masa namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam," katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran negeri di sini hari ini.

Izham berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga turut menggerakkan aset mereka bagi mengagihkan bekalan air kepada pengguna di kawasan yang terjejas.

Kadar pencemaran bau Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor mencatatkan bacaan sifar TON (nombor bau nilai ambang) setakat 9.45 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bacaan sama turut direkod tiga kali di muka sauk empat LRA terlibat bermula jam 2 petang tadi.

Susulan pencemaran bau Sungai Kuang, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619