AGENDA

Kerajaan pastikan keselamatan rakyat Malaysia di Dhaka terjamin

19 Jul 2024, 12:20 AM
Kerajaan pastikan keselamatan rakyat Malaysia di Dhaka terjamin

PUTRAJAYA, 19 JULAI: Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang giat memantau keadaan di Bangladesh berikutan tunjuk perasaan pelajar-pelajar di sana.

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata Suruhanjaya Tinggi di sana sedang giat menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua warga Malaysia di negara itu, walaupun menghadapi gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang meluas.

“Susulan permulaan protes, pelajar-pelajar Malaysia di Dhaka diarahkan supaya berkumpul di Suruhanjaya Tinggi bagi tujuan keselamatan mereka dan untuk arahan selanjutnya. Pelajar-pelajar ini adalah dari institusi pendidikan tempatan di Dhaka yang terjejas oleh protes berkenaan, kata kementerian itu.

Menurut kementerian, pegawai Suruhanjaya Tinggi telah berinteraksi awal dengan pelajar-pelajar ini untuk menilai keperluan mereka dan memberikan bantuan segera.

Buat masa ini, Suruhanjaya Tinggi sedang mengkaji penyelesaian sesuai termasuk membantu mengaturkan perjalanan pulang pelajar-pelajar yang ingin kembali ke Malaysia dan mendapatkan tempat perlindungan sementara untuk mereka.

Kementerian Luar menggesa semua rakyat Malaysia yang menetap di Bangladesh untuk mengelak dari berada di dalam kawasan protes, kekal berwaspada dan mematuhi semua nasihat keselamatan dan arahan pihak berkuasa tempatan.

Ia juga komited untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin dan sebarang perkembangan terkini berkenaan situasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka di alamat Rumah No 19, Jalan No 6, Enklaf Diplomatik Baridhara, Dhaka - 1212, Bangladesh.

Suruhanjaya Tinggi itu boleh juga dihubungi menerusi talian +880241081892 / 1895 atau +88 018 4179 8077 (kecemasan sahaja) dan e-mel di mwdhaka@kln.gov.my.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619